Rakyat Sarawak : Undi Pakatan Rakyat

Rakyat Sarawak : Undi Pakatan Rakyat

Thursday, July 24, 2008

Kadar Inflasi Tinggi Beri Tekanan Kepada BNM Untuk Naikkan OPR

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kenaikan yang lebih tinggi daripada yang dijangka dalam kadar inflasi pada Jun, memberikan lebih tekanan kepada Bank Negara Malaysia sekarang ini untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR).

Kenaikan 7.7 peratus dalam indeks harga pengguna (IHP) bagi Jun, adalah lebih tinggi daripada yang dianggarkan, demikian menurut dua ahli ekonomi yang sebelum ini menjangka ia berada di bawah tujuh peratus.

Ketua ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng berkata peningkatan dalam IHP melebihi jangkaan dan juga tertinggi sejak 1986.

Pengangkutan dan makanan merupakan penyumbang utama kepada kenaikan berkenaan, kata Yeah kepada Bernama, dalam temu bual melalui telefon di sini hari ini.

Beliau berkata kenaikan 7.7 peratus merupakan alasan yang baik bagi bank pusat untuk menaikkan OPR.

Menurut Yeah, beliau menjangka Bank Negara akan memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat dasar kewangannya Jumaat ini.

Beliau juga berkata Bank Negara berkemungkinan menaikkan OPR pada masa asas yang kecil dan secara beransur-ansur.

Ahli ekonomi kanan Bank Islam Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata kemungkinan Bank Negara menaikkan OPR adalah pada 50:50.

"Keputusannya bergantung kepada jangkaan Bank Negara. Sekiranya ia melihat kenaikan semasa dalam inflasi sebagai sementara, kenaikan dalam OPR mungkin tidak wajar," jelas beliau.

Azrul Azwar berkata kenaikan semasa dalam inflasi kebanyakannya didorong kos berbanding permintaan.

Beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan langkah-langkah pentadbiran selain kadar faedah, bagi membendung inflasi yang beliau akui lebih tinggi daripada yang dijangka pada Jun.

"Saya mengunjur IHP akan mencecah 7.1 peratus. Tetapi kenaikan 7.7 peratus adalah di luar jangkaan," kata beliau.

Azrul Azwar juga menjangka IHP akan kekal melebihi tujuh peratus untuk 12 bulan akan datang berikutan harga petrol dan diesel yang tinggi.

"Penstrukturan subsidi bahan api merupakan sumber utama inflasi di Malaysia," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kadar inflasi yang tinggi boleh dikurangkan kepada tiga peratus atau kurang.

"Saya percaya menjelang separuh kedua 2009, pertumbuhan IHP boleh turun, dengan andaian tiada kenaikan harga bahan api, semakan menaikkan tarif utiliti dan harga makanan stabil.

"Sekiranya ketiga-tiga petunjuk ini direalisasikan, barulah rakyat tidak merasakan dengan ketara kesan inflasi," katanya.

IHP bagi Jun naik 7.7 peratus kepada 113.4 daripada 105.3 pada bulan yang sama tahun lepas, disebabkan kenaikan yang ketara baru-baru ini dalam harga petrol dan diesel.

IHP Jun juga meningkat sebanyak 3.9 peratus berbanding Mei tahun hasil daripada kenaikan yang ketara dalam indeks pengangkutan pada 18.8 peratus.

-- BERNAMA

0 comments: