Berikut adalah ucaptama Dewan Ulamak Pas ke 48 dari Auditorium Muzium Alam Shah, Shah Alam Selangor Darul Ehsan.
Tarikh : 10 Jumada Al-Akhir 1430 / 4 Jun 2009 (Khamis)
MENERUSKAN PERJUANGAN PARA NABI
1.Muqaddimah
Tuan Pengerusi Tetap, Pemerhati-Pemerhati Kehormat, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Timbalan dan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, saudara Setiausaha dan Bendahari Dewan Ulama’ Pas Pusat, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Pengarah bersama Urusetia Panitia Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat kali ke-48, para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian,
Pertamanya marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran yang tiada taranya kehadrat Allah s.w.t. atas segala kurniaan kesihatan, kemudahan dsan yang penting nikmat berjuang Islam. Kita berkumpul di dewan yang mulia ini bagi meneruskan agenda dsan tanggungjawab kita dalam Parti Islam Semalaysia PAS sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembaggan PAS.
Muktamar kali ke-48 ini seharusnya dijadikan medan bagi kita bermuhasabah, bercermin diri dan meningkatkan ikhlas kita kepada Allah swt, menumpukan lebih banyak masa bagi meninggikan kalimah Allah taala disamping berusaha melumpuhkan sebarang bentuk kekusutan, perasaan tidak baik dan bangga diri.
2.Kepimpinan ulamak menelusuri sirah anbiyak
Realiti para rasul yang diceritakan oleh al-quran dan sunnah rasulullah saw adalah pemimpin-peminpin utama negara yang memimpin politik umat manusia di zamannya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud
“Nabi-nabi adalah pemimpin-pemimpin politik bani Israel.”- Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim
Antara rasul-rasul yang menjadi pemimpin nombor 1 negara ialah Nabi Sulaiman a.s. dan Nabi Daud a.s yang memerintah Palestin, Nabi Musa a.s selepas menjatuhkan Firaun di Mesir, nabi-nabi yang lebih dahulu termasuk Nabi Adam a.s, Nabi Nuh a.s dan lain-lain. Disana terdapat nabi yang memimpin sekalipun bukan menjadi pemimpin nombor 1, seperti Nabi Yusuf a.s.
Tuntasnya, rasul-rasul yang diceritakan secara terperinci oleh Al-Quran karim adalah pemimpin-pemimpin politik umat di zamannya, dan bukan menjadi penasihat suci sebagaimana peranan pendeta agama dalam gambaran-gambaran sejarah barat.
Pemimpin-pemimpin politik bermaksud, mereka secara langsung menjadi pencorak kepada kepimpinan negara dan mempunyai kuasa menentukan, bukan sebagaimana penasihat yang hanya berkuasa menasihati tanpa kuasa pemutus.
Jika nabi-nabi tidak boleh berbuat demikian, atau tidak dihalang berbuat demikian, mereka akan menjadi pemimpin pembangkang sebagaimana Nabi Ibrahim, Yahya, Zakaria, Nabi Isa a.s dan lain-lain. Firman Allah yang bermaksud:
“Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh yang terbaik”-Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim.
Antara tauladan yang terpenting ialah, Rasulullah SAW bukan sahaja ketua ibadat seperti imam solat, tetapi Rasulullah SAW adalah ketua politik samada sebelum hijrah ketika menentang pemerintahan Quraisy di Makkah dan selepas Hijrah ketika menjadi ketua negara menerajui negara Madinah.
Rasulullah SAW dan para rasul terdahulu bukan menjadi penasihat politik, mereka adalah pemimpin politik dalam ertikata pemutus pada hala tuju organisasi islam, menentukan mana yang boleh mana yang tidak boleh, dan ,mereka bukannya menjadi penasihat yang bersifat pemberitahu tetapi tidak mempunyai kuasa dan autoriti menyuruh dan melarang.
Selepas wafatnya Rasulullah SAW, maka tiada lagi nabi selepasnya. Maka yang menjadi galang ganti kepada tugasan baginda SAW sebagai pemimpin politik atau pemimpin organisasi umat islam ialah golongan ulamak. Oleh itu, yang memegang teraju pemerintahan di zaman selepas Raulullah SAW ialah dikalangan fuqahak sahabat iaitu sahabat nabi yang memahami hokum hakam yang dibawa oleh nabi SAW. Sememangnya sahabat khulafak ar-Rasyidin berdampingan dengan nabi SAW dalam tempoh yang lama seperti Saidina Abu Bakar yang merupakan khalifah pertama, tetapi perlantikan mereka sebagai khalifah selepas itu bukan atas dasar tersebut, tetapi atas dasar keulamakannya atau keilmuannya tentang hasil daripada perdsampingan mereka dengan Nabi Muhammad SAW. Kepentingan ilmu agama dalam memenuhi prasyarat menjadi pemimpin organisasi Islam jelas tergambar melalui kata-kata Saidina Umar Al-Khattab yang bermaksud
“Dalamilah ilmu agama sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin”
Disamping faktor yang boleh membentuk keperibadian yang baik, faktor yang lebih utama daripada itu ialah faktor memastikan hala tuju negara Islam dan gerakan islam di kedudukan selari dengan kehendak wahyu Ilahi. Bagi mencapai tujuan tersebut, kefahaman mereka terhadap maksud dan kehendak wahyu menjadikan mereka golongan berkelayakan memegang tampuk tersebut.
Kedapatan khilafah dan gerakan Islam yang tidak terpimpin oleh ulamak. Ianya tidak boleh dijadikan hujah kerana panduan dalam kepimpinan dan ge rakan Islam ialah sumber hukum itu sendiri bukan realiti umat Islam yang kita kagumi.Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam karanganya (Al-Fiqh Al-Islami,Jld 8,hlmn 303) menyatakan kesepakatan ulamak tentang syarat alim atau ulamak sebagai pemerintah.
Adalah hamper mustahil sesuatu organisasi Islam boleh melakasanakan Islam tanpa mendapat garis panduan daripada Ulamak.Jika panduan ualamak dianggap sebagai nasihat yang boleh diterima dan ditolak,di sini pada kebanyakkan keadaan akan mewujudkan pertembungan antara ulamak dan pemimpin.
Nyatalah bahawa kepimpinan Ulamak bukanlah idea daripada Ulamak, pemuda atau golongan tertentu dalam parti,tetapi asal mata air kepimpinan Ulamak ini adalah gagasan daripada Islam itu sendiri. Ianya adalah mata rantai ‘kepimpinan Anbiyak’.
Sekalipun PAS bukan parti yang memerintah negara.Tetapi realiti politik semasa pada hari ini memerlukan PAS dipimpin Ulamak bagi memastikan pergerakan, dasar perlaksanaan, keputusan-keputusan segera selari dengan kehendak Islam terutama Al-Siyasah Al-Syariyyah.
Para perwakilan sekalian,
3. Pengukuhan Ukhuwah Anggota Jemaah
Dalam usaha untuk memantapkan kepimpinan Ulamak, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak terutamanya para Ulamak untuk meningkatkan kefaham terhadap prinsip ukhuwah dalam berjemaah.Prinsip yang telah sedia diamalkan oleh kita terutamanya, para Ulamak dan pendokongnya perlu disebarluaskan sehingga setiap ahli bukan sahaja beramal dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:
‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Al-Hujarat: 10)
Terdapat 3 isu utama yang dikemukakan oleh Allah s.w.t. Ia bukan sahaja memberikan fokus tentang orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.Tetapi menekankan kepada bahagian kedua dari ayat itu yang menjadi tujuan utama ukhuwah iaitu hendaklah melakukan islah antara sesama mereka dan bahagian ketiga menyeru agar sentiasa bertaqwa kepaa Allah s.w.t.
Profesor Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam tafsir Al-Munirnya menerangkan beberapa perkara pokok, antaranya: Ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu ayat 9 Surah Al-Hujarat yang meminta umat Islam melakukan islah kepada 2 kumpulan yang berperang (bergaduh).
Begitu juga dengan prinsip ukhuwah yang lebih kuat dan teguh dari persaudaraan atas dasar keturunan. Istilah Islam dalam menurut ayat ini dikaitkan dengan melakukan pendamaian jika terdapat dikalangan umat yang bertelingkah. Jika mereka masih ingin meneruskan pertelingkahan, ingtakan mereka agar segera bertaqwa kepada Allah taala.
Persoalannya, adakah persaudaraan yang dibina dalam PAS telah mencapai tahap itu atau dalam erti kata lain seumpama aur dengan tebing atau isi dengan kuku? atau ianya hanya bersifat luaran dan menunggu isu-isu yang datang terutamanya oleh musuh kita sehingga kita bercerai-berai daripada berpegang kepada tali Allah taala.
Saya dengan ini menyeru semua perwakilan dan pemerhati agar mengambil perhatian tentang perkara ukhuwwah ini sehingga hubungan kita dengan sesama ahli bertambah erat sehingga membawa kepada bersatu bertambah mutu, ibarat kata pepatah Melayu. Biarlah persahabatan kita tetap kukuh, utuh dan tidak retak walaupun terdapat percubaan di sana sini bagi meruntuhkan ukhuwwah yang telah terbina sejak lebih setengah abad yang lalu.
Keikhlasan yang ditunjukkan oleh tuan-tuan guru kita semasa menubuhkan PAS, keikhlasan para pemuda kita semasa memperkasakan kepimpinan ulamak lebih 25 tahun yang lalu sepatutnya memberikan kepada kita keinsafan agar kita, para ulamak menjadi pembawa obor ukhuwwah Islamiyyah, tanpa mengenal penat dan lelah.
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
4. Terus taat dan wala’ dalam berjemaah
Prinsip ini perlu diingatkan sepanjang masa agar kita yang diamanahkan sebaai pemegang obor Nabi-nabi dan Rasul-rasul terus berpegang kepada prinsip taat. Allah Ta’ala menjelaskan dengan tegas kewajipan memberikan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa kompromi. Taat kepada pemimpin selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasullullah dan kepada ulul amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah An-Nisa’: 59)
Hadis Nabi SAW yang menjadi penyandar kepada ayat ini sangat jelas mengajar kita agar tidak memberikan ketaatan kepada perkara maksiat dan kejahatan.
Maksudnya: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat” (Muttafaqun alaih)
Jangan kita tertipu dan dipermainkan oleh nafsu kita sehingga mengutamakan kepentingan peribadi, keperluan semasa dan andaian kita sahaja sehingga prinsip taat tidak terlaksana.
Prinsip di atas perlu difahamkan kepada seluruh ahli kita agar ahli kita mendapat maklumat dan penghayatan yang jelas tentang 2 prinsip utama di atas.
Dalam hal ini, kita dibolehkan berbeza pendapat dalam perkara furu’ (cabang) tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, kita tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan itu, walaupun mungkin bertentangan dengan pandangan kita.
Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Sesungguhnya tangan Allah bersama jemaah dan sesungguhnya syaitan mengajar orang yang meninggalkan jemaah” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Begitu juga, Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Allah berfirman, “Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang.” (Al- Qasas: 35)
Memang benar ketaatan terhadap makhluk itu ada batasnya. Tetapi jika alasan yang diberikan adalah berasaskan nafsu atau kepentingan peribadi semata-mata, maka akan sampai masanya kita semua akan dikalahkan oleh musuh kita.
Ingatlah wahai saudaraku akan 3 petikan dari ayat Al-Quran surah At-Talaq ayat 3, surah Al-Fath ayat 10, dan Al-Hajj ayat 11.
Maksudnya: “Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya, Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. (At-Talaq: 3)
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad- untuk berjuang menentang musuh), mereka hanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah menguasai keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar”.
(Al-Fath: 10)
Maksudnya: Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendiriannya yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufuran). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata”. (Al-Hajj: 11)
Ibnu Hajar di dalam Tahzib Attahzib menegaskan bahawa Al-Imam Al-Auzaie dinobatkan sebagai tokoh masyarakat kerana bertindak sebagai pemimpin mereka dan guru mereka. Salah seorang guru Al-Imam Al-Bukhari iaitu Sheikh Khalid bin Abdullah Al-Wasiti juga diletakkan sebagai pemimpin kepada orang awam.
Para alim ulamak ini terjun dalam masyarakat dan politik demi kepentingan rakyat dan orang awam. Lihat sahaja kekalahan Imam Ahmad bin Hanbal ketika berdepan dengan kerajaan Mu’tazilah yang berusaha memesongkan akidah ummah dengan bid’ah dakwaan Al-Quran sebagai makhluk.
Apa yang menarik, dalam usaha memimpin masyarakat dan rakyat, tokoh-tokoh ulamak besar ini telah mengunakan kuasa amal jamaie untuk merentasi sempadan dakwah dan meraih kejayaan dengan penyusunan ketumbukkan yang kukuh ini.
Hal ini diperkukuhkan oleh firman Allah SWT:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata”. (Surah Yusuf: 108)
Ibnu Qayyim menegaskan: “Ayat ini menjelaskan sesiapa yang mengikuti aku, dia hendaklah turut berdakwah ke jalan Allah sebagaimana aku berdakwah”.
Al-Kalbi berpendapat: “Setiap orang yang mengikut Rasulullah SAW bertanggungjawab untuk berdakwah kepada apa yang diserukan kepadanya oleh Baginda Rasulullah SAW”.
Salafussalih menubuhkan jemaah setelah memahami tuntutan ini. Lihatlah sahabat Rasulullah SAW iaitu Hisyam bin Hakim bin Hizam Al Qarsyi RA, Az-Zahri berkata:
Maksudnya: “Beliau (Hisyam) menyeru kepada perkara kebaikan bersama-sama dengan segolongan lelaki yang bersamanya”. (Tahzib At-Tahzib)
Persoalannya, apakah amal jamaie cukup dengan hadir pada setiap kali muktamar? Menjadi peminat setia kepada ceramah yang dianjurkan? Membiarkan petugas kita siang dan malam bekerja untuk jemaah sedangkan kita amat susah untuk mencari masa lapang bagi menafkahkan sedikit masa demi perjuangan Islam.
Pengalaman gerakan Islam di Malaysia menunjukkan kejayaan kita dalam memperjuangkan Islam yang syumul adalah hasil dari keikhlasan, kesungguhan dan kesediaan pemimpin kita menyerahkan jiwa raga, masa, dan wang ringgit bagi perjuangan ini.
Apakah kita sanggup dan bersedia menjadi pemerhati sehingga ke penghujung hayat kita? Di manakah kefahaman kita terhadap amal jamaie diletakkan? Inilah perkara utama yang patut difikirkan dan diambil tindakan segera, agar prinsip amal jamaie tidak hanya menjadi bahan silibus usrah tanpa amalan.
Dalam seminar sempena Jubli Perak Kepimpinan Ulamak pada 28 Jamadil Awal 1430 bersamaan 23 Mei 2009 yang lalu, disebutkan peri pentingnya kepimpinan secara jamaie. Memang pimpinan utama umat seharusnya dari kalangan ulamak. Kepimpinan ulamak pula hendaklah terdiri dari para mujtahid. Oleh kerana kekurangan dalam aspek itu, ditambah pula dengan berkembangnya ilmu, maka konsep kepimpinan jamaie adalah sesuatu yang sangat baik dilaksanakan dalam jemaah.
Maksudnya jamaah dipimpin oleh gabungan para ulamak dan lainnya agar sesuatu keputusan yang ingin diambil datangnya dari tasawur yang jelas tentang sesuatu perkara. Kita perlukan pakar ekonomi, ahli politik, tokoh undang-undang dan anggota lainnya bagi memastikan kepimpinan kita dapat memberikan pandangan dalam semua bidang hasil gabungan semua pihak.
Adalah amat malang jika terdapat setengah pihak merasakan mereka tidak layak menjadi ahli dalam kepimpinan jamaie keran kononnya bukan dari golongan ulamak. Masyarakat yang kompleks, citarasa yang pelbagai, suasana yang tidak menentu menjadikan kepimpinan jamaie anjuran PAS menjadi sangat relevan dan mendepani zamannya dalam memberikan pandangan, menentukan halatuju dan mengilhamkan satu harapan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Siding muktamirin dan muktamirat sekalian,
6. Menekuni gagasan tahalluf siyasiy
Bagi merencanakan program yang lebih baik, tersusun dan jitu, para ulamak terutamanya diharapkan akan dapat membentuk pemikiran baru dalam bidang tahalluf siyasiyy sehingga pemikiran Islam kontemporari, berasaskan akar tunjang al-Quran dan al-hadis, dipayungi oleh pandangan ulamak salaf dan khalaf, membentuk satu bayangan idea yang dapat membayangi keperluan muslim dan non-muslim di negara kita.
Pengalaman PAS semasa membentuk kerajaan campuran, membentuk kerjasama dengan parti-parti kecil, menyelamatkan golongan terbuang dalam Umno sehingga membentuk Angkatan Perpaduan Ummah, mencetuskan GERAK dan Barisan Alternatif dan terkini menganjurkan Pakatan Rakyat.
Pengetengahan idea kerajaan perpaduan dan akan ada lagi untuk gagasan seterusnya merupakan satu indikator besar bahawa ulamak dalam PAS tidak pernah ketandusan idea dalam merealisasikan tahalluf siyasiy.
Kepelbagaian bentuk dan pendekatan yang disebutkan di atas menolak pandangan setengah pihak bahawa ulamak PAS adalah beku, jumud, tidak bermaya, tidak pro-aktif dan pelbagai tohmahan yang cuba merosakkkan penampilan ulamak dalam arus politik semasa.
Dengan ini, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru supaya semua pengalaman yang disebutkan di atas diteliti, diperhalusi sehingga terserlah keupayaan kepimpinan ulamak dalam menempuh abad-abad yang mendatang. Kertas tahalluf siyasiy sepatutnya dibincangkan dalam program usrah,tamrin, dan wacana yang diadakan oleh pelbagai peringkat kepimpinan PAS sehingga selepas ini ucapan yang kurang waras tidak lagi dikeluarkan oleh pelbagai pihak terutamanya para petugas dan ahli.
7. Garis Panduan Pelaksanaan Islam di Negeri Pakatan Rakyat.
Dewan Ulamak PAS Pusat dimaklumkan bahawa PAS Pusat telah membentuk Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai pihak yang akan membantu PAS di peringkat negeri melaksanakan Islam dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan kesesuaian setempat.
Memang tidak dapat dinafikan suasana antara negeri-negeri di Malaysia agak berbeza. Negeri Kedah berbeza dengan Kelantan. Perak dan Selangor banyak bezanya. Terengganu juga terdapat banyak perbezaan berbanding negeri lain.
Perlu diingat bahawa antara ciri utama ajaran Islam itu ialah adanya unsur thabat(tetap) dan murunah(fleksibel). Maka, adalah baiknya kita mula senaraikan unsur-unsur murunah yang terdapat dalam ajaran Islam itu untuk dipilih, diolah dan seterusnya dilaksanakan di semua negeri selepas memahami perbezaan undang-undang dan suasana masyarakat setempat.
Yang menjadi masalah kepada sebahagian dari ahli kita ialah kurang kesabaran sehingga apabila kita menang sahaja, terus menghujani kepimpinan dengan persoalan di mana hudud? Qisas? Di mana itu dan di mana ini? Mengapa tidak buat itu, mengapa buat begini? Dan sebagainya sehingga kadang-kadang kita lupa yang kita menjadi kerajaan bukan lagi pembangkang. Bidang kuasa kita terhad, bukannya bebas.
Maka dengan ini, walau apapun alasan dan niat kita, kita masih belum terlambat untuk menyusun semula pentadbiran negeri di bawah kekuasaan kita dengan landasan yang lebih jelas, penyusunan secara lebih tertib dan mengikut awlawiyat, sehingga para penyokong dan ahli kita tahu ke mana hendak dibawa kerajaan kita, bila akan tercapai cita-cita Islam yang kita bawa, mengapa perkara tertentu tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya.
Tempoh setahun yang dilalui sudah cukup memberikan kefahaman kepada kita untuk terus bergerak dengan lebih perkasa, keyakinan yang lebih tinggi, kebijaksanaan yang lebih matang untuk meneruskan amanah yang diberikan, sesuai dengan janji dan manifesto pilihan raya yang kita taburkan semasa berkempen secara jamaie atas tiket PAS dan Pakatan Rakyat.
Perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah.
8. Hubungan dengan non-muslim
Satu lagi isu yang disebut sebagai belum selesai ialah hubungan dengan non-muslim. Dewan Ulamak PAS Pusat yang telah diberikan tanggungjawab bagi membantu PAS terutamanya Majlis Syura Ulamak perlu mengemukakan pandangan baru dan terkini terhadap isu hubungan dengan non-muslim dari pelbagai sudut. Apakah kita perlu terikat dengan tafsiran ulamak silam sahaja dalam isu ini atau kita perlu melihat kepada perkara waqi’ie dan realiti yang ada di Malaysia pada hari ini.
Kita merupakan Parti Islam di dunia pada zaman moden moden ini mengeluarkan pandangan keharusan menerima wanita sebagai pengundi dan bertanding dalam pilihan raya, sedangkan negara di Asia Barat masih lagi membincangkan keharusan mengundi apatah lagi menjadi calon, maka ulamak PAS mempunyai khibrah dan pengalaman untuk menentukan beberapa perkara dasar dalam berinteraksi dengan non-muslim di negara ini.
Saya yakin jika kita dapat mengemukakan garis panduan yang baik, seluruh persatuan dan parti Islam di dunia akan mengambil kira pandangan kita apabila mereka berdepan dengan masalah yang sama di negara masing-masing. Isu seperti yang manakah adat dan yang manakah agama sehingga kita sebagai rakyat Malaysia dapat menyertai perayaan adapt mereka dan mengelak dari menyertai perayaan agama mereka. Apakah yang haram dilakukan oleh rakyat diharuskan pula kepada pimpinan negeri dan negara kerana maslahah atau ianya tetap haram di sisi Islam.
9. Mengukuh hubungan dengan semua pihak
Memang tidak dapat dinafikan bahawa adalah sebuah parti politik Islam. Selain itu seluruh dunia tahu bagawa PAS juga sebuah Harakah Islamiyyah, gerakan Islam yang menjadikan dakwah dan tarbiyah sebagai tunjang utama gerakkannya.
Adalah amat malang jika terdapat segolongan ahli dan pendokong PAS yang tidak mahu berinteraksi apa lagi meneruskan agenda dakwah kepada non muslim dan agenda amar makruf nahi mungkar kepada saudara sesama Islam.
Ibarat kata-kata hikmat Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat,”Kita akan membubarkan PAS jika Umno bersedia hendak mengamalkan Islam dalam hidup bernegara dan masyarakat.”
Kita juga berpegang dengan kata-kata hikmah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang :” kita melawan Umno bukan kerana nama dia Umno, tetapi kerana Umno mengekalkan peraturan dan perlembagaan penjajah.”
Sekalipun kita menentang umno, misi dakwah serta amar makruf nahi mungkar tetap disasarkan kepada mereka. Terutamanya pada masa ini, sehingga mereka faham dan akhirnya bersama kita dalam perjuangan ini.
Kita yakin dan percaya walau sejahat atau sefasiq mana pun manusia beragama Islam, mereka tetap berpeluang untuk menerima hidayah dari Allah subhanahu wataala untuk kembali ke pangkal jalan, sesuai dengan doa yang mereka selalu ucapkan 18 kali sehari semalam, “tunjukkan kami jalan yang lurus(benar).”
Hadirin dan hadirat sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,
10. Memperkasakan ulamak
Kita mendengar cakap yang kurang enak mengatakan ulamak ingin membolot kepimpinan PAS, tidak mahu berkompromi dengan professional dan macam-macam lagi. Di luar sana, ada di kalangan ahli dan penyokong yang mempertikaikan keupayaan ulamak dalam memimpin dan mentadbir.
Perlu dijelaskan di sini, beberapa kategori ulamak antaranya :
- ada ulamak yang berilmu tinggi tetapi tidak cekap mentadbir,
- ada ulamak yang berilmu dan cekap mentadbir,
- ada ulamak yang kurang ilmu tetapi cekap mentadbir,
- ada ulamak yang kurang segalanya,
maka, saya menyarankan agar para ulamak perlu meneruskan usaha meningkatkan ilmu agama dan pengurusan sehingga mereka menjadi golongan kedua iaitu mempunyai ilmu yang tinggi dan tahu mentadbir.
Usaha inilah dinamakan memprofesionalkan ulamak. Jika ulamak, dalam keadaan tertentu masih belum dapat mentadbir dengan baik, adalah menjadi tugas rakan-rakan professional dalam PAS atau ulamak yang kurang ilmunya tetapi boleh mentadbir bersama-sama mendokong kepimpinan ulamak.
Kita tidak ada masa bagi melayan media yang memainkan peranan bagi melemahkan saf kita terutamanya dalam suasana genting para perwakilan ingin membuat keputusan bagi meneruskan agenda perubahan dan persediaan menambah bilangan kerusi di peringkat Dun dan parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.
Maka dengan ini, beberapa agenda utama bagi memperkasakan ulamak perlu diberikan perhatian seperti berikut :-
1) Memahami isu dan hal semasa
Adalah malang jika kita hanya berupaya membaca kitab, mentafsirkan alQuran dan hadis dengan banyak tetapi apabila dikemukakan isu-isu semasa terutamanya dalam isu ekonomi, politik, dan social, kita membisu. Al-Quran mengajar kita supaya bertanya kepada pakarnya sebagaimana firman Allah subhanahu wataala :
Maksudnya : “Oleh itu bertanyalah kamu ( wahai golongan Musyrik) kepada orangorang yang berpengetahuan agamajika kamu tidak mengetahui” (Surah an-Nahl : 43)
Begitulah dengan ulamak. Kita tidak boleh lari dari ahli sejarah, politik, ekonomi dan kemasyarakatan kerana mereka memiliki ilmui yang tinggi dalam hal-ahal yang disebutkan. Jika kita dapat terus mengadakan majlis-majlis wacana tentang isu semasa, masalah masyarakat, maka kita akan dapat menjelaskan segala isu yang berkaitan menurut perspektif agama berdasarkan Al-Quran dan hadis.
2) Mengaitkan ilmu dalam kitab dengan hal semasa
Ulamak juga akan menjadi lebih perkasa dan berada di hadapan jika kita mampu menerangkan hujah-hujah yang terdapat dalam kitab-kitab turath berdasarkan keperluan semasa.
Sebagai contoh bagaimana ingin disesuaikan kitab al-Kharaj Abu Yusuf dalam konteks bajet negara? Bagaimana tafsiran baru tafsiran Siyasah Syar’iyyah ibnu Taimiyah dalam konteks di Malaysia?
Memang kita boleh melakukan kerja mudah dengan mengambil dan menaqal pandangan ulamak semasa seperti syeikhul Azhar, Prof Dr Yusuf alQaradhawi, dan lainnya, tetapi mereka tidak berada di medan yang sebenar seperti yang kita alami, mereka tidak menjadi Menteri Besar dan exco dan mereka tidak berdepan dengan non muslim secara terus. Di sinilah letaknya kelebihan kita dan akan terus menjadi kekuatan kita jika kita dapat lakukan cara yang terbaik. Sebab itulah dalam ucapan muktamar yang lalu saya menekankan pentingnya ulamak pelapis kita terus belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi sehingga ilmu itu dapat diadun dengan baik dan membuahkan hasil yang baik pula untuk kepentingan agama dan perjuangan.
Kami akan pergi dan di tangan tuan-tuanlah PAS akan dikemudikan pada suatu hari nanti, insha-Allah.
3) Meyakinkan ahli dengan idea-idea baru
Sebagai sebuah dewan yang tinggi dalam PAS, kita juga perlu mengikuti perkembangan dalaman parti dan seterusnya membantu kepimpinan dalam mengeluarkan, mempromosikan dan seterusnya mempertahankan idea-idea yang dikemukakan oleh kepimpinan parti.
Sebagai contoh terdekat, ketika YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden mengemukakan idea kerajaan perpaduan. Sepatutnya ulamak adalah golongan utama yang menjalankan penyelidikan dan melihat sejauhmana idea ini tersurat dalam lipatan sejarah. Sejauhmana pengalaman dalam negara lain di dunia. Sejarah menunjukkan bagaimana presiden kita mempunyai pembacaan yang luas, ijtihad politik yang tinggi yang memerlukan sokongan kita.
Selepas sedikit kajian dibuat, didapati Afrika Selatan dan Indonesia adalah antara negara yang awal mengamalkan konsep negara perpaduan selepas United Kingdom pada suatu masa dahulu selepas Perang Dunia Pertama .
Penjelasan dari perspektif syarak yang digabungkan dengan pendapat cendekiawan politik semasa akan dapat membantu mengukuhkan idea Presiden yang juga seorang ulamak. Ini sekadar contoh apa yang berlaku pada sesi yang lalu.
4) Pembantu yang dapat membina imej
Sebagai sebuah parti yang sedang meningkat maju kita juga memerlukan pembantu yang dapat meningkatkan imej kepimpinan dan Dewan Ulamak. Maka dalam konteks inilah, kehadiran pelbagai golongan sebagai pembantu Dewan Ulamak seperti pakar komputer, pengajian media dan komunikasi, ahli sumber manusia dan pembangunan manusia amat diperlukan.
Mereka diharap dapat membantu menaikkan imej ulamak terutamanya Dewan Ulamak di peringkat pusat dan negeri sehingga mencapai kedudukan yang baik dan sihat dalam pemikiran masyarakat Malaysia yang muslim dan non-muslim.
5 ) Menyampaikan idea dalam media PAS
Saya tekankan hari ini kerana dengan kecanggihan teknologi sekarang ini, terdapat segolongan kecil dari penyokong PAS yang cuba memperkecilkan dan yang lebih teruk lagi menidakkan sumbangan dalam memajukan parti kita.
Yang lebih malang mereka menggunakan teknologi canggih seperti ruangan blog, facebook, list group, selain media elektronik lain untuk memburukkan peribadi, menyerang ulamak, atas nama kebebasan yang melulu tanpa batasan akhlak dan syarak.
Penutup
Hadirin dan hadirat sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,
Secara ringkasnya, sebelum saya merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ini, suka saya mengingatkan sekali lagi betapa pentingnya ulamak meneruskan perjuangan para nabi. Untuk membolehkan kita berjuang sebagai pewaris nabi-nabi, kita hendaklah terlebih dahulu melengkapkan diri dengan ketokohan ulamak dalam segenap aspek dan sanggup memimpin perubahan dalam diri kita daripada malas membaca kepada sentiasa membaca, daripada terlalu banyak bercakap kepada bercakap dan mendengar. Para ulamak perlu memberikan ruang masa untuk melakukan kajian dan jangan rehat daripada melakukan kajian-kajian ilmiah untuk kepentingan agama.
Jika kita mempunyai kualiti seorang pemimpin barulah kita akan dapat menjadi pemimpin yang baik dan diterima umum. Gunakanlah pengalaman kita semasa menjadi ahli dewan undangan negeri, semasa memimpin persatuan, NGO dan lainnya sehingga kita dilihat mempunyai kualiti kepimpinan walaupun biasanya ulamak memiliki ciri itu lebih dari sebahagian yang lain.
Dengan lafaz Bismillah, saya dengan ini merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-48.
Selamat bermuktamar.
Takbir !...Allahu akbar
Takbir !...Allahu akbar
Takbir !...Allahu akbar
Akhukum fil Islam,
Muhammad Daud Iraqi
dari: Muktamar Tahunan PAS ke 55
Rejim Zionis Israel gali kubur sendiri – Tuan Guru Abdul Hadi
-
* KUALA LUMPUR* : “Kezaliman rejim Zionis sebenarnya hanya akan menggali
kubur diri mereka sendiri.”
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ber...
2 months ago
0 comments:
Post a Comment