Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kes liwat terhadap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 24 September depan ekoran bantahan terhadap perintah yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Apabila kes itu disebut pada jam 9.58 pagi tadi di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah, pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, para peguam Anwar mempertikaikan perintah tersebut kerana ia ditandatangani oleh Abdul Gani, yang menurut mereka, tidak sepatutnya terbabit dalam kes tersebut kerana beliau adalah pihaknya disebut dalam aduan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung dakwaan mereka bukti terhadapnya pada 1998.
Mereka berhujah bahawa sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Abdul Gani dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.
Anwar telah membuat laporan polis terhadap Abdul Gani dan Musa yang didakwanya telah mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya 10 tahun yang lalu.
Hakim Komathy kemudian menetapkan 24 September untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujah terhadap kesahihan perintah pemindahan kes yang ditandatangani oleh Abdul Gani itu.
[mkini]
0 comments:
Post a Comment